Monday, January 24, 2011

kEnaPa mEsTi aKu? [4]

              Kini, sudah hampir seminggu berlalu. Tanah di perkuburan Ilham sudah makin pudar warna merahnya, namun hatiku masih lagi berdarah. Pemergian Ilham betul-betul membuatkan cahaya dalam hidup ku malap dan gelap gelita. Aku hilang arah tujuan, tercari-cari dalam kegelapan. Aku tidak pasti arah mana yang patut aku tuju. Aku akui, aku telah melakukan kesalahan yang besar terhadap Ilham, yang tak akan mampu untuk aku tebus walaupun di akhir hayatnya. Kini, aku hanya bertemankan sepi. Tangisanku bagaikan hujan membasahi bumi.
           
              Aku genggam surat kiriman terakhir Ilham kepadaku. Inilah satu-satunya peninggalannya yang boleh aku ratapi sekarang ini. Aku seolah-olah masih tidak percaya bahawa dia yang suatu ketika dahulu menjadi pengubat rindu ini telah pergi buat selamanya. Untuk yang kesekian kalinya, aku renungi setiap bait kata-kata wasiatnya kepadaku.
          

                “Salam sayang buat kekasihku yang kini berada jauh dariku, Alya. Pada saat Alya membaca surat ini, mungkin Ilham sudah tiada lagi di muka bumi ini. Ini semua merupakan suratan takdir, Alya jangan tangisi pemergian Ilham. Jodoh pertemuan, ajal maut semuanya di tangan Allah. Mungkin, jodoh kita hanya setakat ini sahaja. Tapi Ilham bersyukur kerana dipertemukan dengan wanita sehebat Alya, wanita yang Ilham yakin mampu untuk teruskan hidup walaupun tanpa Ilham di sisi Alya sekarang ini.
          
               Alya, tidak pernah terniat di hati Ilham untuk melupai mahupun menjauhkan diri dari Alya. Percayalah, Ilham lakukan semua ini untuk Alya. Lambat laun, Alya akan mengerti. Maafkan Ilham jika tindakan Ilham membuat Alya terluka. Biarlah Ilham jelaskan semuanya untuk Alya.


            Alya, ingat tak birthday Alya tahun lalu? Ilham buatkan surprise birhtday party untuk Alya? Mesti Alya ingatkan? Ilham betul-betul bahagia melihat senyuman yang mekar dibibir Alya. Kita sambut birthday Alya bersama-sama. Sebenarnya, pada hari itu jugalah Ilham jatuh pengsan selepas menghantar Alya pulang ke rumah. Pada mulanya, Ilham ingatkan Ilham cuma letih, tetapi doktor mengesahkan Ilham menghidap barah otak.  Alya, Ilham cuma ada beberapa bulan sahaja lagi untuk hidup. Pada mulanya, Ilham ingin memberitahu Alya mengenai penyakit Ilham tetapi Ilham tidak sanggup untuk melihat Alya menangis disebabkan Ilham. Ilham tidak mahu senyuman di wajah Alya hilang kerana melihat Ilham menderita. Ilham tak kuat Alya. Ilham tak kuat. Alya, maafkan Ilham.

            Sebenarnya, wanita yang Alya lihat berpegangan tangan bersama Ilham bukan siapa-siapa dalam hati Ilham. Ilham mengupahnya untuk berlakon menjadi kekasih Ilham. Tujuannya cuma satu, Ilham tidak mahu mengheret Alya bersama-sama ke dalam penderitaan Ilham. Cukuplah Ilham menanggungnya seorang diri. Ilham sayangkan Alya. Ilham tidak mahu Alya bersedih. Ilham sayangkan Alya.

            Mungkin Alya akan fikir yang Ilham kejam kerana membiarkan Alya seorang diri. Ilham tidak kisah Alya. Alya boleh anggap Ilham apa saja asalkan Ilham dapat pastikan yang Alya mampu untuk teruskan hidup walaupun tanpa Ilham menemani Alya. Ilham mahu Alya biasakan diri tanpa Ilham. Alya, buanglah semua kenangan kita berdua, mulakan hidup baru. Ilham tahu, kebahagiaan sedang menanti Alya. Alya jangan berputus asa.

            Alya, maafkan Ilham kerana tidak sempat untuk memberitahu mengenai Luqman kepada Alya. Alya pasti dah lupakan Luqman, rakan setugas Ilham dahulu. Alya ingat tak? Dulu, Luqman pernah memberitahu Ilham bahawa dia sukakan Alya tetapi disebabkan persahabatan kami, dia rela berkorban demi kebahagiaan kita. Luqman merupakan lelaki yang baik Alya. Alya ingat tak dia selamatkan Alya waktu Alya hampir kemalangan dulu? Ilham memintanya supaya dekat dengan Alya supaya Ilham tahu, Alya yang Ilham sayang selamat. Luqmanlah yang menghantar semua hadiah dan bunga kepada Alya. Alya kusayang, berilah dia peluang.  

           Alya, ingatlah bahawa Ilham pergi cuma untuk seketika, kita akan dipertemukan lagi suatu hari nanti.. Alya, anggaplah Ilham cuma mimpi yang datang sekadar untuk menguji kekuatan hati Alya. Terima kasih Alya kerana Alya telah membuatkan Ilham bahagia. Ilham sangat sayangkan Alya. Alya, mulakan hidup baru, tanpa Ilham. Selamat tinggal Alya.
                                                                                                                                                                                                                                                            

                                                          Yang sentiasa merinduimu,
                                                                         ILHAM






           

No comments:

Post a Comment