Monday, January 17, 2011

kEnaPa mEsTi aKu? [1]

Kedengaran titisan-titisan hujan yang jatuh membasahi bumi tatkala ini. Hari sudah jauh malam tetapi aku masih berdiri memikirkan apa yang akan terjadi esok. Tatkala bayangan kejadian tengahari tadi menerpa ingatanku, aku lekas memintasnya dengan memuji-muji kebesaran-Nya. Ternyata, kejadian tadi masih menghantui aku. Airmata yang aku tahan sedari tadi akhirnya jatuh membasahi bumi, senada dengan air hujan kurniaan Illahi yang menyuburi alam ini. Namun mengapa aku tidak merasa kenikmatan dan keindahan malam ini. Aku cuba kuatkan hati tetapi naluri ini, tiada siapapun yang dapat menghalangnya dari menjerit-jerit meminta ku untuk meluahkannya. Kadang kala terasa seperti hidup ini tidak berguna lagi.

Gambaran kekasih hatiku, Ilham, masih bermain di fikiran. Tatkala melihatnya berpegangan tangan dengan wanita lain, terasa seperti jantungku berhenti berdegup untuk seketika. Aku sedar, sebagai wanita, aku hanya mampu untuk mendiamkan diri. Jauh di sudut hatiku, aku bimbang jika peristiwa pahit tadi akan meragut kebahagian yang selama ini aku miliki sepanjang bergelar bakal isteri kepada Ilham. Pertunangan kami yang sudah hampir memamah usia satu tahun ternyata tidak dapat membantu aku mengenali hati budinya. Dia yang ku kenali dari awal usia remaja ku kini ternyata telah berubah.

Entah mengapa, tanganku lantas mencapai telefon bimbitku yang terletak di atas katil.

“Ilham”....nama yang terpapar di skrin telefon. Tanpa memikirkan apa yang akan berlaku, aku terus menekan punat hijau.

“tut.....tut....”   hatiku debar menanti suaranya untuk menyapa aku. Kelunakan suaranya, kemerduan bahasanya dan kesopanan tutur katanya mampu membuatkan jiwaku yang gundah ini berbunga riang. Kesakitanku aku lupakan buat seketika waktu. Aku akui, dalam kemarahanku terhadapnya, masih terselit bait-bait rindu yang tidak mungkin dapat aku lupuskan sehingga menjelang usia senjaku. Bagiku, aku tidak akan terburu-buru mengambil keputusan sebelum bertanyakan kisah sebenar kepadanya. Aku tahu, dia juga berhak untuk bersuara, dan berhak untuk memilih. Sambil menantikan nadanya yang mampu mencairkan jiwa wanitaku, aku berharap agar apa yang aku fikirkan tidak akan berlaku.

“Hello? Nak cakap dengan Ilham ke” 

Hati kecilku tersentap. Bagaikan aku sedang bernafas di dalam air. Teriakanku yang tadinya sudah berhenti kini kembali bermaharajalela. Jiwa batinku meronta-ronta meminta penjelasan. Kenapa mesti aku? Apa salah aku?

Telefon kecil ditanganku aku lemparkan ke dinding. Seakan-akan melepaskan geram terhadap Ilham. Aku yakin, suara tadi milik wanita yang aku lihat berpimpinan tangan bersama Ilham di Jusco tengahari tadi. Aku yang setia dalam percintaan terasa terhina apabila dilakukan seperti ini. Tanpa memikirkan apa-apa, aku terus mencapai sekeping kertas untuk meluahkan rasa hatiku terhadap Ilham. Aku nekad untuk menghantar surat yang aku tulis kepada Ilham setelah aku pulang dari pejabat esok. Bersama surat itu, aku kirimkan sekali cincin pertunanganku. Aku berharap kenangan pahitku ini akan pergi dan hilang dari pandanganku seiring dengan cincin pertunanganku yang menjadi bukti cinta kami selama ini. Di belakang sampul tersebut, aku sematkan nota kecil, “Ilham, Alya minta maaf.”

Kini, sudah hampir seminggu aku memulakan hidup baru. Aku akui, kenangan dulu masih berlegar-legar di mindaku. Dia yang telah mengkhianati cinta aku, sudah lama menyepi tanpa khabar. Aku cuba menepis kerinduanku dengan meluangkan lebih banyak masa di pejabat. Aku tidak mahu memikirkan tentangnya lagi. Ianya hanya akan membuatkan lukaku yang lama berdarah kembali.

“tok.....tok.....tok”,  ketukan di pintu pejabat menghentikan lamunanku. Kelihatan setiausahaku berjalan masuk sambil membawa sebuah bekas yang besar.

“Cik, ada kiriman untuk Cik”

Aku meneliti bekas tersebut dengan penuh perasaan tanda tanya. Tiada nama atau sebarang tanda mengenai pengirimnya. Aku terus membuka penutup bekas tersebut. Alangkah terkejutnya apabila mendapati bekas tersebut dipenuhi dengan gula-gula Kisses, kegemaranku. Di setiap pembalut gula-gula tersebut, terlekat sehelai nota kecil. Aku lantas mencapai salah satu gula-gula dan membaca nota tersebut, tertulis “Ek is lief vir jou”.

“Ek.....ek is li..lier jou......” hampir terbelit lidahku apabila cuba membaca nota kecil tersebut.

“Bahasa apa ni?”  Hati kecilku tertawa kecil. Aku begitu teruja untuk mengetahui maksud tulisan tersebut.

Aku menyeluk tanganku ke dalam bekas tersebut sambil mencapai gula-gula kegemaranku. Gula-gula tadi sudah hampir habis aku kunyah. Di nota tersebut tertulis, “Te estoy amando”.

Aku kebingungan. Aku mencapai beberapa biji gula-gula lain dan cuba untuk membaca nota yang tertulis di pembalut gula-gula tersebut.

“Jeg elsker dig

“Ti amo

“Miluji tě

Aku bertambah bingung. Sambil cuba memahami apa yang tertulis, aku menggamit tanganku memanggil Tina, setiausahaku.
“Tina, boleh awak tolong cari maksud nota-nota ni? Tapi, janji dengan saya, jangan bagi orang lain tahu. Ok Tina? ”

Setiausahaku yang komitmen terhadap kerjayanya terus melakukan tugasnya. Tina, memang merupakan seorang pekerja yang mantap, berdedikasi dan tidak pernah cuai dalam menjalankan tugas. Aku meneruskan kerjaku. Hatiku berbunga-bunga apabila teringatkan kiriman tadi.

Tanpa aku sedari, jam telah menunjukkan pukul 5.30 petang. Aku terus mencapai beg tangan Bonia kegemaranku dan berjalan menuju ka arah pintu. Terasa keletihan di seluruh tubuhku. Apabila aku ingin melangkah ke dalam lif, Tina memanggil namaku.

“ Cik, nota-nota tadi semuanya mempunyai maksud yang sama tapi bahasa yang berbeza-beza.”

“ ye? Maksud apa?”

“ I love you.......”

“ Biar betul kau ni Tina?”

“ Betul Cik.”

Aku terus mengambil bekas tersebut dan melangkah masuk ke dalam lif. Lidahku kelu. Aku tidak dapat berhenti tersenyum. Entah mengapa, aku seperti jatuh cinta sekali lagi. Aku dapat merasakan seperti aku telah mendapat nafas baru dalam hidupku. Ya Allah, adakah ini satu anugerah atau sekadar ujian.


(bersambung)

No comments:

Post a Comment